SIAPAKAH YANG DIGELAR MUSLIM ?
Perkara yang utama yang patut diketahui oleh setiap Muslim ialah ‘ Siapakah yang digelar Muslim dan apakah erti seorang yang mengaku Muslim ? ‘. Jika seseorang manusia itu tidak mengetahui apa erti kemanusiaan dan tidak dapat membezakan di antara manusia dan binatang, maka dengan mudah ia akan melakukan perbuatan-perbuatan yang bersifat kebinatangan dan ia tidak tahu untuk menghayati sifat kemanusiaannya.
Begitu juga halnya jika seorang Muslim yang tidak mengenali pendiriannya sebagai seorang Islam dan tidak mengetahui perbezaan antara dia dan kafir, maka dia akan bertindak sebagai orang kafir dan juga tidak akan merasakan keagungannya sebagai seorang Muslim.
Oleh yang demikian setiap Muslim dan kanak-kanak Muslim harus diajar dan dididik serta diasuh tentang pendirian dan kedudukan mereka sebagai seorang Muslim. Mereka perlu tahu akan perubahan kedudukan mereka setelah mereka menjadi Muslim. Mereka perlu tahu akan tanggungjawab yang dikenakan terhadap mereka berikutan kedudukan mereka sebagai seorang Muslim. Mereka patut kenal akan batas-batasan yang akan menjamin dan mengekalkan diri mereka sebagai Muslim agar mereka tidak melewatinya. Mereka patut tahu bahawa dengan melewati batas-batas tersebut, mereka akan bersara dari menjadi seorang Muslim walaupun mulut mereka berlagak sebagai seorang Muslim.
Erti Islam
Erti Islam ialah ketaatan dan rasa tanggungjawab terhadap Allah s.w.t. Menyerah diri mereka kepada Allah s.w.t Mengorbankan kebebasan diri untuk Allah s.w.t. Islam ialah menyerah diri kita kepada Pemerintahan dan Kerajaan serta Kekuasaan Allah s.w.t. Seseorang yang menyerah semua urusan kehidupannya kepada peraturan Allah s.w.t, dia adalah seorang Muslim. Seseorang yang mengatur urusan hidupnya mengikut kehendak sendiri atau mengikut kehendak orang lain, di adalah bukan Muslim. Penyerahan urusan hidup kita mengikut peraturan Allah s.w.t bererti menerima panduan yang diberikan oleh Allah s.w.t, melalui kitabNya dan RasulNya dan tiada langsung secebis sikap penentangan terhadap panduan ini. Adalah penting sekali bagi kita untuk menyelesaikan segala masalah hidup kita ini dengan berpandukan kitab suci al Quran dan as Sunnah an Nabawiyyah.
Seseorang yang mengutamakan nasihat-nasihat dari Allah s.w.t dan membelakangkan pendapat-pendapat dari pemikirannya sendiri, maka dia adalah Muslim. Seseorang yang merujuk semua perkara atau hal kepada Kitab Allah dan Hadith Rasulullah s.a.w dan menegah dirinya dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Kitab Allah s.w.t dan Sunnah Rasulullah s.a.w , dia adalah Muslim.
Dapat difahami dengan ringkas bahawa seseorang yang melayakkan dirinya dalam golongan Muslim bila dia telah mempu menyerahkan keseluruhan dirinya kepada Allah s.w.t. Bagi sesiapa yang menolak panduan-panduan al Quran dan Sunnah Rasullullah s.a.w, maka jelaslah mereka ini bukan Muslim. Bagi mereka yang mengutamakan pendapat dan pemikiran mereka untuk mengatur seluruh hidup mereka dengan membelakangkan panduan al Quran dan Sunnah maka mereka juga bukan Muslim, begitu juga halnya mereka yang mengutamakan amalan nenek moyang mereka, mereka juga bukan Muslim. Bagi mereka yang mengatur hidup mereka yang dunia perkatakan dan bukan apa yang al Quran dan as Sunnah tetapkan, maka mereka juga bukan Muslim.
Bagi mereka yang mengetahui akan panduan dan ajaran al Quran dan as Sunnah Rasulullah s.a.w tetapi mereka masih boleh berkata : Ia tidak dapat diterima oleh pemikiranku, oleh itu aku menolaknya atau nenek moyangku bertindak menurut cara lain, oleh itu aku tidak akan menurut panduannya atau amalan dunia bertentangan amalannya lantaran aku akan mengamal cara yang dunia mahu, maka mereka yang berkata sedemikian ialah munafik (pembohong atau pendusta), jika mereka mengaku mereka adalah seorang Muslim.
Tanggungjawab Seorang Muslim
Apabila seseorang itu melafazkan kalimah La Ilaha Illallah, Muhammadur Rasulullah itu bermakna ia telah menerima hanya undang-undang dan peraturan Allah s.w.t dan Allah itu Penaung dan Pemerintah baginya. Ini juga bererti ia mempunyai satu keyakinan yang mengaku benar dan betul apa yang al Quran dan as Sunnah katakan benar dan betul. Apabila ia telah mengaku menjadi Muslim maka bererti dia telah mengorbankan kebesarannya demi Allah s.w.t. Ini juga telah memansuhkan haknya untuk berkata : Pendapat saya ialah ini, dunia mengamalkan yang ini, adat keluarga saya ialah ini, orang suci itu menasihatkan saya berbuat ini dan sebagainya.
Dia tidak boleh memberikan pendapat sedemikian bila berhadapan dengan wahyu Allah s.w.t dan Sunnah Rasulullah s.a.w.. terima sahaja apa-apa yang berlandaskan al Quran dan as sunnah dan lemparkanlah apa sahaja yang bertentangan dengan kedua-dua nya tanpa memperdulikan pendapat-pendapat yang lain. Tugasnya ialah untuk menghakimkan menurut apa yang dikehendaki oleh Nur al Quran dan as Sunnah.
Adalah perkara yang amat bertentangan untuk memanggil diri kita Muslim tetapi kita masih boleh mengutamakan pendapat kita sendiri atau adat kebiasaan dunia atau tindakan serta pendapat orang lain dari apa yang dikehendaki oleh al Quran dan as Sunnah. Seseorang itu tidak boleh memanggil dirinya Muslim selagi ia masih enggan meletakkan keseluruhan hidupnya dibawah peraturan al Quran dan as Sunnah. Jika ia masih memanggil dirinya Muslim, tetapi enggan mengutamakan al Quran dan as Sunnah dalam hidupnya, maka samalah ia dengan orang yang buta tetapi mengaku dapat melihat atau samalah dengan orang pekak teapi mengaku dapat mendengar.
Sesiapapun tidak dapat memaksa seseorang yang tidak Muslim menjadi seorang Muslim tanpa kerelaan hatinya. Dia bebas untuk memilik mana-mana agama yang disukainya dan memanggil dirinya dengan sebarang gelaran atau nama yang digemarinya. Akan tetapi apabila seseorang itu memanggil dirinya Muslim maka dia mestilah faham bahawa ia kekal sebagai seorang Muslim selagi ia di dalamnya.
Akan tetapi , apabila dia memanggil dirinya Muslim, maka dia mestilah faham bahawa dia akan kekal sebagai sorang Muslim selagi dia berada di atas batas yang ditentukan oleh Islam. Batas-batas itu ialah untuk menerima dan meyakinkan wahyu Allah s.w.t dan Sunnah Rasulullah s.a.w sebagai tempat berlandasnya segala kebenaran dan keadilan dan menganggap perkara yang bertentangan dengan kedua landasan tersebut sebagai palsu belaka. Sesiapa yang berada di dalam lingkungan batasan-batasan tersebut adalah Muslim dan sesiapa yang terkeluar darinya akan dikira tersingkir dari Islam. Setelah ia disingkirkan, ia masih mengaku Muslim, maka dia telah menipu dirinya sendiri dan orang lain serta dunia seluruhnya. Firman Allah s.w.t:-
Terjemahannya:
“ Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerahkan diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendita-pendita mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab–kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia (tetapi) takut lah kepadaKu. Dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat Ku dengan harga yang sedikit. Barang siapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.”
(Surah Al Maa’idah ayat 44)
Wallah hu A’alam
No comments:
Post a Comment